PUTRAJAYA: Kementerian Perpaduan Negara memperuntukkan RM2.3 juta untuk pelaksanaan program perpaduan berasaskan kesukarelawanan.

Menteri berkenaan Datuk Aaron Ago Dagang berkata peruntukan itu merangkumi RM800,000 untuk pengurusan operasi dan RM1.5 juta bagi pelaksanaan program perpaduan tahun ini yang akan diuruskan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS).

Beliau berkata dana tersebut akan memperkasakan lagi usaha melahirkan lebih ramai sukarelawan siswa dan memperkukuh keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Saya berharap YSS akan terus berusaha menyemarakkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa selaras dengan slogan ‘Perpaduan melalui Sukarelawan’,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan YSS ke-12 di sini.

Aaron berkata kementerian itu komited menjadikan Malaysia sebagai Hub Kesukarelawanan dengan melaksanakan beberapa inisiatif termasuk pelaksanaan tujuh misi sukarelawan siswa dalam dan luar negara, pelantikan Duta Perpaduan dan Ikon Perpaduan serta pembangunan Dasar Kesukarelawan Nasional.