SHAH ALAM: Graf sokongan terhadap calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao menunjukkan peningkatan memberangsangkan menjelang hari terakhir kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.
Pengerusi PH Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata sokongan berkenaan sentiasa meningkat terutama selepas calon dan jentera parti dalam Kerajaan Perpaduan menyantuni setiap segmen pengundi termasuk dalam kalangan Orang Asli.
“Kempen berjalan dengan baik dan boleh dikatakan kita telah menemui pengundi di semua kawasan dengan fokus adalah kepada kaedah kempen rumah ke rumah selain dibantu penggunaan media sosial dan ceramah.
“Setakat malam semalam, pendekatan ini ternyata berkesan apabila graf sokongan terhadap calon PH dari semua kelompok masyarakat termasuk kaum Orang Asli menunjukkan peningkatan yang sangat signifikan,“ katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 (Pengubahan) di sini hari ini.
Menteri Besar Selangor itu berkata kempen dari rumah ke rumah akan terus diperhebatkan sebagai pecutan terakhir sebelum kempen berakhir pada 11.59 malam esok, antara lain bagi memastikan jumlah keluar mengundi yang tinggi pada hari pengundian, Sabtu ini.
Beliau berkata jentera PH juga tidak berdepan cabaran kritikal setakat ini kerana tidak ada isu besar dimainkan pembangkang sehingga memerlukan mereka bekerja keras menjawab dan menangkis isu tersebut.
“Cabaran besar kita adalah bagaimana untuk memastikan jumlah keluar mengundi yang tinggi selain bimbang kemungkinan hujan pada hari pengundian yang bermakna kaedah atau bantuan untuk membantu pengundi keluar mengundi perlu diatur dan dibuat dengan lebih baik,“ katanya.
Mengenai kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam aspek gerak kerja kempen, Amirudin yang juga Naib Presiden PKR berkata kerjasama antara parti bertambah baik berbanding semasa Pilihan Raya Negeri sebelum ini kerana wujud persefahaman selain hubungan yang lebih erat.
PRK KKB menyaksikan pertandingan empat penjuru melibatkan Pang, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).