• 2025-07-10 02:56 PM

KUANTAN: Kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan di Rumah Pam Kobat telah siap sepenuhnya lebih awal daripada jangkaan pada pukul 9.30 pagi tadi. Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Datuk Saiful Zaini Mohd Bokhari, memaklumkan pam air mentah telah beroperasi semula pada pukul 10.15 pagi.

Air mentah kini dihantar ke Loji Rawatan Air Semambu untuk diproses. Beberapa tangki imbangan dan simpanan telah dipenuhi bagi memastikan tekanan dan aliran stabil. Pengguna dijangka mula menerima bekalan air secara berperingkat, bergantung pada jarak dan tekanan sistem.

Saiful Zaini berkata, “Pemulihan bekalan air berbeza mengikut kawasan dan bergantung kepada jarak premis pengguna serta tekanan dalam sistem agihan bekalan. Bekalan alternatif seperti lori tangki dan tangki statik akan diteruskan di kawasan yang masih terjejas sehingga bekalan air pulih sepenuhnya.”

Beliau turut mengucapkan terima kasih atas kesabaran dan kerjasama pengguna serta bantuan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Sebelum ini, PAIP memaklumkan gangguan bekalan air tidak berjadual selama 12 jam di beberapa kawasan Kuantan bermula 11 malam semalam. - Bernama