KUALA LUMPUR: Kerjasama dalam kalangan pemegang taruh amat penting bagi membentuk ibu kota yang lebih berdaya huni dan terangkum, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.

Beliau menekankan iaitu kejayaan dalam pembaharuan semula bandar bukan sahaja bergantung pada dasar, tetapi juga pada tanggungjawab bersama dalam kalangan badan kerajaan, pemaju swasta, ahli akademik dan rakyat.

“Saya mengulangi iaitu membina daya tahan di Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain memerlukan penjajaran matlamat sosial, ekonomi dan alam sekitar dengan orang ramai berada di tengah-tengah proses itu,” katanya dalam ucapan pada forum makan tengah hari bertajuk “Bandar Berdaya Tahan, Masa Hadapan Mampan: Merubah Landskap Bandar melalui Pembaharuan Mampan” yang diadakan di sini hari ini.

Maimunah melontarkan pandangan daripada asas kerjayanya yang cemerlang dalam tadbir urus dan perancangan bandar antarabangsa yang terkini.

Sementara itu, REHDA Institute yang menganjurkan forum berkenaan dalam satu kenyataan berkata forum tersebut diadakan sebagai tindak balas terhadap cabaran dan peluang bandar yang semakin meningkat di Malaysia untuk pembangunan semula yang mampan.

“Sorotan utama forum itu iaitu perbincangan panel yang mantap menampilkan suara-suara terkemuka daripada perancangan, seni bina, kejuruteraan, akademik, masyarakat sivil dan hartanah.

“Panel yang pelbagai berkenaan meneroka rangka kerja inovatif dan kaedah praktikal untuk mengemudi cabaran pembaharuan semula bandar Malaysia yang semakin berkembang,“ katanya.

Forum tersebut diadakan pada masa yang penting untuk landskap pembangunan bandar Malaysia dengan negara baru-baru ini menyandang jawatan Presiden Perhimpunan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) dan bersedia untuk pelancaran Akta Pembaharuan Semula Bandar.

“Dengan bandar yang berdepan tekanan yang semakin meningkat daripada infrastruktur yang semakin tua, peningkatan kepadatan penduduk dan cabaran iklim, forum itu berusaha untuk menggalakkan penyelesaian strategik, berpaksikan rakyat serta berpandangan ke hadapan kepada pembaharuan semula bandar,” katanya.

Panel tersebut menampilkan barisan pakar yang terkenal termasuk penasihat CBRE-WTW Foo Gee Jen, Pengerusi Persatuan Pemilik Bangunan Terbengkalai Malaysia Dr Mohamed Rafick Khan Abdul Rahman dan Presiden Institut Perancang Malaysia Datin Mazrina Datuk Abdul Khalid.

REHDA Institute berkata hasil forum itu akan menyumbang dengan ketara kepada wacana dasar yang berterusan melibatkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan agensi pembangunan bandar lain yang berkaitan.

“Pandangan yang dikongsi mencerminkan visi kolektif untuk mengubah masa depan bandar Malaysia melalui pembaharuan semula yang mampan, terangkum dan diterajui komuniti,” katanya.