KUCHING: Mahkamah Majistret di sini memerintahkan kes melibatkan seorang anggota polis trafik Bukit Aman yang dituduh mengakibatkan kematian seorang lelaki pada April lalu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Ling Hui Chuan selepas pihak pendakwaan mengemukakan laporan bedah siasat bagi menyokong permohonan pemindahan kes.
Timbalan Pendakwa Raya Adriana Maisarah Mohd Farid memaklumkan bahawa pertuduhan baharu akan difailkan di Mahkamah Tinggi dalam tempoh terdekat, namun tiada tarikh sebutan ditetapkan setakat ini. Tertuduh, Genesis Nitchell David Reddy, 30, yang berpangkat Lans Koperal dan bertugas di Unit Trafik Bukit Aman, didakwa membunuh Muhammad Zaki Iderus, 34.
Muhammad Zaki maut akibat terkena tembakan semasa berada di dalam sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Stephen Yong pada 26 April lalu. Genesis sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret pada 7 Mei, tetapi tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pertuduhan dikenakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika sabit kesalahan. Genesis diwakili oleh peguam Russel Lim, Brenden Ting, dan Zoe Chan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. -BERNAMA