• 2025-06-28 04:37 PM

MARANG: Jumlah kumulatif kes demam denggi di Terengganu bagi tempoh 1 Jan 2025 hingga semalam (27 Jun) menurun 28 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) Datuk Dr Kasemani Embong berkata sepanjang tempoh itu hanya 90 kes demam denggi dilaporkan berbanding 125 kes pada 2024.

Beliau berkata setakat ini tiada kes kematian akibat denggi direkodkan berbanding satu kes sepanjang tahun lalu.

“Daerah Kuala Terengganu mencatat kes tertinggi iaitu seb 53 kes diikuti Besut (10), Kuala Nerus (sembilan), Marang (lima), Kemaman (lima), Dungun (kes), Hulu Terengganu (tiga) dan Setiu (satu).

“Antara faktor penurunan kes ialah kesedaran masyarakat yang semakin tinggi, aktiviti pencegahan oleh penguatkuasa JKNT dan peranan penting yang dimainkan oleh 5,477 sukarelawan Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) di seluruh negeri,“ katanya pada Majlis Pelancaran Gotong-Royong Mega 1.0 dan Sambutan Hari Denggi ASEAN Peringkat Negeri Terengganu 2025 di Kampung Tebakang, di sini hari ini.

Dr Kasemani berkata walaupun berlaku pengurangan kes demam denggi, JKNT tetap mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan aktiviti pemusnahan tempat pembiakan (PTP), semburan kabus (fogging) dan larviciding, iaitu kaedah pencegahan secara ekologi bagi menyekat perkembangan larva atau pupa menjadi nyamuk dewasa.

Bagaimanapun. beliau berkata kes demam malaria di Terengganu mencatatkan peningkatan sebanyak 150 peratus bagi tempoh 1 Jan hingga 21 Jun lepas berbanding tempoh sama 2024.

Beliau berkata terdapat 10 kes malaria dilaporkan pada tahun ini berbanding empat kes tahun lepas.

“Dua daripada 10 kes berkenaan ialah zoonotic malaria manakala lapan lagi human malaria yang majoritinya ialah warga Rohingya.

“Namun setakat ini tiada kes kematian akibat malaria dilaporkan kerana pesakit telah mendapatkan rawatan awal,“ katanya.