NIBONG TEBAL: Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan membentangkan kertas dasar berhubung penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig kepada Kabinet bulan ini.

Menteri berkenaan Steven Sim Chee Keong berkata laporan kajian awal mengenai cadangan penubuhan suruhanjaya itu telah pun dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet bulan lepas bagi mendapatkan input daripada Jemaah Menteri untuk penambahbaikan terhadap kerangka kerja sebelum ini dan akan membentangkannya sekali lagi dalam tempoh satu atau dua minggu lagi.

“Selepas pembentangan (kajian awal) bulan lepas, maka ia kembali di pihak Kesuma untuk kita menambah baik, mengambil kira pandangan daripada input-input Jemaah Menteri pada hari itu.

“Pada bulan ini, mungkin dalam masa satu dua minggu lagi, kita akan membentangkan satu kertas dasar tentang penambahbaikan yang telah dilakukan, bagaimana boleh memberikan perlindungan kepada pekerja sektor gig terutama dalam tiga aspek utama iaitu dari segi pampasan upah yang lebih baik, keduanya dari segi perlindungan keselamatan sosial dan yang ketiga dari segi mekanisme kilanan.

“Ini baru di peringkat awal, maka ia tertakluk kepada kelulusan jemaah menteri dan (sekiranya diluluskan di peringkat jemaah menteri nanti) mungkin ia akan melibatkan pindaan atau gubalan undang-undang sedia ada,“ katanya kepada pemberita pada Majlis Meraikan Peluncuran Tajaan Kepada e-Hailing dan p-Hailing Zon Utara di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sim berkata pekerja gig tidak termasuk dalam definisi pekerja dalam akta, justeru sebarang aduan tidak boleh dibuat kepada pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK) kerana mereka hanya mengambil aduan daripada pekerja yang didefinisi sebagai pekerja mengikut Akta Kerja 1955.

Sehubungan itu beliau berkata pihaknya akan melihat semula apakah definisi terbaik untuk mengklasifasikan golongan itu pada masa depan.

“Berdasarkan sesi libat urus yang dibuat, mereka pun tidak mahu didefinisikan sebagai pekerja konvensional, jadi apa yang sedang dibuat adalah kita akan mengambil tanda aras negara-negara serantau serta amalan terbaik seluruh dunia dan memperincikan kepada kesesuaian untuk pelaksanaan di negara kita,“ katanya.

Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig dapat disegerakan bagi melindungi hak pekerja gig yang kini sudah mencecah 1.12 juta orang terutama dalam kalangan anak muda.

Sementara itu, Sim berkata setakat 21 Jun lepas seramai 648,657 individu telah mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Daripada jumlah itu, 5,787 adalah pemandu e-hailing dan p-hailing Zon Wilayah Utara yang merupakan pencarum aktif di bawah inisiatif tajaan oleh Grab Malaysia kepada lebih 180,000 rakan pemandu dan penghantar kendalian mereka.