KUALA NERUS: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bercadang mewujudkan kursus premier di setiap 32 Institut Latihan Perindustrian (ILP) di seluruh negara.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata ia merupakan antara langkah pemerkasaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia.

“Setiap ILP akan ada kursus premier sendiri mengikut kawasan dan bidang itu akan lebih diperkukuh. Ada perkara yang apabila kita fikirkan akan beri peluang kepada pelajar, itu yang akan kita buat.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh umum secara terperinci lagi. Ia perlu dibawa ke mesyuarat pasca-Kabinet dahulu untuk dapat persetujuan,“ katanya selepas merasmikan penutup Karnival Jelajah MADANI Jom Masuk TVET Zon Timur 2024 di ILP Kuala Terengganu di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata perancangan itu susulan permintaan tinggi daripada pelajar dan pelbagai pihak misalnya ILP Pengerang, Johor yang memfokuskan bidang minyak dan gas.

“Lebih 90 peratus lepasan ILP Pengerang akan bersama industri minyak dan gas ... ia dapat dibuktikan sebab saya sendiri sudah melawat kawasan terbabit.

“ILP Kuala Terengganu pula yang tertumpu dalam program (kejuruteraan) mekanikal, elektrik dan sivil menyumbang 35 peratus tenaga mahir negara. Jumlah itu bukan kecil, maksudnya program ILP Kuala Terengganu sangat berjaya dalam menyumbang tenaga mahir untuk negara,” katanya.