• 2025-07-26 04:01 PM

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan proses pengisian 4,352 jawatan sektor kesihatan secara ‘fast track’ bagi menangani kekurangan tenaga kerja kesihatan ketika ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah ini dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet dan beliau menekankan keperluan untuk mempercepatkan proses tersebut.

“Saya telah tegaskan dan tekankan supaya Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan menyegerakan pengisian ini melalui kaedah fast track berbanding konvensional,” katanya selepas merasmikan Annual Scientific Meeting & 55th Annual General Meeting Malaysian Society of Radiographers (MSR).

Selain itu, Dzulkefly mengingatkan semua pengamal kesihatan supaya mendaftar di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 (Akta 774) dan mendapatkan Perakuan Amalan (APC) sebelum 31 Disember 2026.

“Langkah ini penting bagi memastikan ekosistem amalan kesihatan bersekutu yang diiktiraf, dikawal selia, dan berteraskan kualiti,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu KKM L. Mageswary memberi amaran bahawa individu yang gagal mendaftar atau mengamalkan tanpa APC boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Mana-mana individu yang menggaji seseorang yang tidak berdaftar di bawah Akta 774 untuk menjalankan tugas sebagai pengamal Profesion Kesihatan Bersekutu melakukan kesalahan. Jika disabitkan bersalah, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya,” katanya.

Bagi pertubuhan perbadanan atau entiti organisasi, denda boleh mencecah RM100,000 dengan denda tambahan RM5,000 sehari bagi kesalahan berterusan. - Bernama