• 2025-06-26 02:33 PM

PUTRAJAYA: Projek pembangunan Kota MADANI di Presint 19 dijangka membantu penjawat awam menjimatkan kos sara hidup sehingga RM1,000 sebulan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata, melalui projek ini, penjawat awam boleh menetap di kuarters dengan potongan elaun rumah dan elaun bantuan sara hidup (COLA) sekitar RM400 sebulan. “Sekolah anak pun dekat dan boleh diakses dengan berjalan kaki. Kawasan ini juga dilengkapi sistem keselamatan canggih,“ katanya semasa Majlis Peluncuran Projek Pembangunan Kota MADANI yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dr Zaliha menegaskan Kota MADANI bukan pengganti Putrajaya tetapi sebahagian kecil pembangunan bandar terancang. “Putrajaya simbol pentadbiran moden, manakala Kota MADANI fokus pada ekosistem kehidupan inklusif dan selamat,“ jelasnya.

Projek ini dirangka sebagai pembangunan ‘walkable’ dengan jarak dekat antara bangunan, dilengkapi teknologi AI dan konsep mampan. Sebanyak 10,000 unit kuarters akan dibina bagi menampung kekurangan sedia ada.

“Kini terdapat 17,000 permohonan menunggu kuarters di Putrajaya. Projek ini akan mengubah kehidupan penjawat awam, terutamanya mereka yang terpaksa sewa rumah dengan kos tinggi,“ tambahnya.

Projek bernilai RM4 bilion ini dibangunkan oleh Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH) melalui model kerjasama awam-swasta tanpa peruntukan kerajaan awal.