KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan memberi jaminan bekalan bahan api diesel dan petrol mencukupi sepanjang musim perayaan Aidilfitri minggu depan.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata KPDN sudah membuat penjadualan pasukan penguat kuasa mengiringi lori tangki dari sempadan Terengganu dan Gua Musang bagi memastikan agihan bekalan ke semua stesen berjalan lancar mengikut kuota masing-masing dan mencukupi bagi menampung permintaan.

“Apapun kita akan pastikan di musim perayaan ini bekalan tidak terganggu dan menimbulkan rungutan pengguna. Selain itu kita turut mengaktifkan Bilik Gerakan di setiap daerah bagi memastikan bekalan tidak terputus ,” katanya pada sidang media selpas Majlis Iftar KPDN di pejabatnya di sini, malam ini.

Menurutnya terdapat 46 stesen minyak di kawasan 15 kilometer dari sempadan dan menjadi tugas pihak KPDN untuk sentiasa memantau bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan.

Selain itu, katanya pihaknya telah mengarahkan 18 kilang pembungkusan minyak masak di negeri ini menghantar bekalan di pasaran mengikut jadual ditetapkan sebelum dan selepas Aidilfitri.

Sementara itu mengulas mengenai dua stesen minyak tanpa subsidi yang kini dalam perancangan iaitu di Jeli dan Rantau Panjang, di sini, Azman berkata ia masih dalam proses pembinaan dan kelulusan.

“Bagi stesen di Jeli ia masih dalam proses menunggu kelulusan daripada Kementerian Kewangan termasuk pertukaran daripada stesen bersubsidi kepada tidak bersubsidi manakala stesen tanpa subsidi sepenuhnya di Rantau Panjang kini masih dalam proses pembinaan yang sudah 80 peratus siap.

“Sepatutnya bulan ini dijangka siap dan selepas siap ia perlu mendapatkan Sijil Kelayakan Menduduki Bangunan (CF) yang mungkin memakan tempoh antara tiga hingga enam bulan,” katanya.

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image