SERDANG: Sebanyak 375 premis telah diperiksa oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di seluruh negara melalui Operasi Kesan 4.0 sejak 1 Julai lalu. Pemeriksaan ini melibatkan 1,698 unit penyimpanan stok (SKU) bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak wajar berikutan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Bahagian Penguat Kuasa KPDN, Shamsul Nizam Khalil, berkata operasi ini bertujuan memantau kenaikan harga yang tidak berpatutan serta mencegah pencatutan. “Pemeriksaan meliputi semua peringkat perniagaan, dari pengilang hingga peruncit, termasuk barangan keperluan asas yang tidak terlibat dengan pelarasan SST,“ jelasnya selepas memeriksa sebuah pemborong di Pasar Borong Selangor.
Daripada 375 premis yang diperiksa, enam notis telah dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta 723. Dua syarikat bersetuju menangguhkan kenaikan harga, manakala dua lagi mendakwa kenaikan harga selari dengan cukai. Dua syarikat lain masih dalam proses perbincangan. Sebanyak 17 aduan turut diterima dan sedang disiasat.
KPDN memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melakukan pencatutan. Individu boleh didenda hingga RM100,000 atau dipenjara tiga tahun, manakala syarikat berdepan denda maksimum RM500,000.
Orang ramai digalakkan melaporkan aktiviti mencurigakan melalui Pusat Arahan Penguatkuasaan KPDN, WhatsApp, portal e-Aduan, atau aplikasi Ez ADU KPDN. - BERNAMA