KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menahan dua lelaki kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan petrol menggunakan sebuah kereta yang diubah suai tangkinya di Kampung Talak, Tumpat semalam.

Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata kegiatan kedua-dua suspek yang berumur 50 dan 70 tahun itu terbongkar pada 9.40 pagi menerusi operasi pencegahan ketirisan barang kawalan bersama Pasukan Polis Marin Wilayah 3 Pengkalan Kubor.

Beliau berkata berdasarkan maklumat risikan, sebuah kereta jenis Nissan Grand Livina bernombor pendaftaran tempatan dari arah Kota Bharu telah ditahan di kampung berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati tangki kereta itu telah diubah suai bagi membawa kuantiti petrol yang banyak dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

“Selain itu, pemeriksaan juga mendapati terdapat tangki tambahan yang berada di tempat penyimpanan tayar di bahagian belakang kenderaan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata siasatan awal mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pemilikan minyak petrol yang dibawa di dalam kenderaan itu dan mengaku petrol terbabit akan diseludup keluar ke negara jiran melalui pangkalan haram di sempadan negara.

“Suspek mengaku kesemua 175 liter petrol diperoleh dari sekitar stesen minyak di Kota Bharu dan akan dibawa ke sempadan bertujuan diselewengkan,“ katanya.

Berikutan itu, kedua-dua suspek disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, manakala nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dan petrol dianggarkan RM20,358.75.

Beliau berkata operasi ini merupakan langkah tegas pihak berkuasa untuk menangani isu penyeludupan barang kawalan bersubsidi di kawasan sempadan, serta memberi kesan terhadap aktiviti haram yang merugikan ekonomi negara.