PASIR PUTEH: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan melakukan pemeriksaan lanjut berhubung dakwaan anggur jenis Shine Muscat yang diimport ke negara ini yang mempunyai bahan kimia berlebihan sehingga mengakibatkan keracunan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kajian dan pemeriksaan itu akan dilakukan oleh agensi berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia, dan Bahagian Biosekuriti Tumbuhan, Jabatan Pertanian.

Beliau berkata KPKM akan melihat daripada semua segi termasuk pemeriksaan serta kajian yang dilakukan oleh agensi berkaitan, dan pemantauan akan sentiasa dilakukan.

“Setakat ini KPKM belum menerima sebarang aduan berhubung dakwaan sama ada buah anggur itu mempunyai bahan kimia yang berlebihan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan watikah kepada 48 Ketua Tani Kumpulan Pengguna Air Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Kemasin Semerak 2024 di Tok Bali di sini hari ini.

Terdahulu The Thai Pesticide Alert Network (Thai-PAN) memberi amaran mengenai pencemaran anggur Shine Muscat, selepas mendapati kebanyakan sampel yang mereka kumpul dipercayai mengandungi sisa bahan kimia berbahaya melebihi tahap maksimum yang dibenarkan.

Thai-PAN dan Majlis Pengguna Thailand menggesa Kementerian Kesihatan Awam negara berkenaan untuk mengambil tindakan segera, termasuk mengarahkan pengimport dan pengedar melabel negara asal anggur Shine Muscat yang diimport.