KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan akan meneliti dan menetapkan garis panduan khusus susulan cadangan pelaksanaan langkah segera bagi meningkatkan tahap keselamatan di semua institusi pendidikan.
KPM juga menyokong cadangan larangan penggunaan telefon pintar di sekolah bagi murid berusia bawah 16 tahun.
Garis panduan berkenaan dijangka diumumkan dalam masa terdekat menurut kenyataan KPM hari ini.
KPM menyambut baik keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini yang menggariskan langkah segera bagi menangani isu keselamatan di institusi pendidikan.
Usaha meningkatkan pemantauan pihak polis di semua institusi berkenaan turut digariskan dalam mesyuarat tersebut.
KPM turut menyokong hasrat kerajaan menetapkan had umur 16 tahun bagi penggunaan media sosial bagi melindungi kanak-kanak dan remaja daripada ancaman siber.
Mekanisme pelaksanaan had umur media sosial akan diperincikan oleh Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Semua institusi pendidikan di bawah seliaan KPM digesa memperkukuh peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta komuniti setempat.
Kerjasama ini bagi memastikan aspek keselamatan dapat ditingkatkan secara menyeluruh.
Kerjasama rentas kementerian dan agensi berkaitan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh aspek keselamatan di semua institusi pendidikan di bawah KPM. – Bernama