• 2025-07-10 09:31 PM

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan tujuh langkah strategik bagi mengurangkan beban tugas guru, termasuk memansuhkan acara tidak berimpak tinggi dan melantik orang awam sebagai pengawas peperiksaan.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata langkah ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk menangani isu beban tugas guru yang telah lama wujud.

“KPM melalui cadangan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) telah menggariskan Tujuh Langkah Mengurangkan Beban Guru. Antaranya ialah pemansuhan acara tidak berimpak tinggi dan pengurangan kekerapan semakan elemen pengurusan sekolah SKPM,“ jelas Fadhlina dalam satu hantaran di Facebook.

Langkah lain termasuk memberikan kelonggaran waktu rekod kehadiran murid, mengehadkan sambutan Hari Guru ke peringkat kebangsaan dan sekolah sahaja, serta mempermudah penyediaan Rancangan Pengajaran Harian (RPH).

Fadhlina turut menekankan pentingnya autonomi guru dalam merancang proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

“Lebih 11,000 pengawas peperiksaan awam telah dilantik bagi mengurangkan beban guru. Namun, usaha ini perlu diperkukuh lagi untuk memastikan impaknya dirasai semua,“ tambahnya.

Beliau juga meminta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), dan pentadbir sekolah memastikan pelaksanaan inisiatif ini berkesan. Laporan berkala akan dibentang setiap tiga bulan bagi memantau kemajuan. - Bernama