KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mencadangkan kepada kerajaan agar menubuhkan agensi nasional berpusat untuk kecerdasan buatan (AI) sebagai titik tumpuan tunggal bagi menyelaras dan melaksanakan strategi Malaysia melibatkan penggunaan serta tadbir urus AI.

KRI dalam kenyataan hari ini juga mencadangkan supaya Malaysia menetapkan objektif nasional yang jelas untuk rangka kerja kawal selia AI ini bagi memastikan keselarasan dasar merentas dan dalam sektor.

Menurut KRI agensi nasional berpusat seperti itu boleh membina hubungan antara pakar dalam pelbagai sektor, serta mengumpul dan menyebarkan maklumat mengenai implikasi AI kepada orang ramai.

Kenyataan itu memaklumkan cadangan itu merupakan hasil perbincangan meja bulat bertemakan “Implikasi dan Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI)” pada 27 lepas di sini bagi menyokong usaha negara mengambil peranan utama dalam tadbir urus serantau dan global sesuai dengan peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2025.

“Malaysia boleh mengambil contoh daripada negara lain yang telah membangunkan garis panduan dan peraturan AI dengan membina kerjasama pembelajaran antarabangsa dan menyertai proses penetapan piawaian antarabangsa.

“Bagaimanapun, peraturan global tidak patut diterapkan secara terus dalam konteks Malaysia.

“KRI mengesyorkan agar Malaysia mewujudkan rangka kerja kawal selia yang tangkas dan adaptif, sesuai dengan peranan negara sebagai pelaksana AI yang mampu menyesuaikan diri seiring dengan perkembangan penggunaan AI di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan dalam usaha mengkaji tadbir urus AI di Malaysia, KRI telah menemu bual lebih 20 pihak berkepentingan utama dalam bidang berkenaan semasa perbincangan meja bulat itu untuk mendapatkan pandangan pakar mengenai implikasi dan tadbir urus AI.

Menurut KRI perbincangan itu telah menghimpunkan penggubal dasar, pegawai awam, wakil sektor swasta, ahli akademik, pertubuhan masyarakat sivil dan pakar bebas bagi membincangkan langkah seterusnya dalam tadbir urus AI di Malaysia.

“KRI telah mengenal pasti tiga kategori risiko yang berkaitan dengan AI iaitu ketinggalan kerana tidak mengguna pakai AI, AI yang tidak selamat dan berpotensi menimbulkan kesan tidak diingini dan risiko persenjataan atau penyalahgunaan AI secara sengaja.

“Kekurangan kesiapsiagaan dalam struktur tadbir urus dan kepakaran boleh memburukkan lagi risiko ini,” menurut kenyataan itu.

Justeru, KRI mencadangkan supaya kemahiran penggubal dasar dan penjawat awam dalam penggunaan serta pentadbiran AI perlu dipertingkatkan.

Kerajaan Malaysia telah melancarkan Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021-2025 pada 2021 dan dijangka akan mengeluarkan Garis Panduan dan Etika AI menjelang akhir tahun ini.

Usaha ini adalah sebahagian daripada langkah negara untuk menjadi hab AI serantau di Asia Tenggara, meningkatkan produktiviti negara dan memperkukuh peranan dalam ekonomi digital global.