KUALA LUMPUR: Malaysia percaya wujudnya keperluan untuk meneliti semula komitmen ke atas pembangunan mampan, sumber global cekap dan perdagangan yang adil serta seimbang dalam kalangan negara-negara.

Sehubungan itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata negara-negara berkenaan juga perlu berkongsi nilai yang akan menghasilkan dasar perdagangan yang boleh menyumbang kepada pembangunan saksama serta mampan.

“Bagaimanapun, ini tidak boleh dijadikan sebagai langkah bukan tarif untuk menyekat aliran perdagangan.

“Peningkatan langkah alam sekitar berkaitan perdagangan seperti (amalan) alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) oleh negara maju mempunyai aspek paling penting dalam perdagangan antarabangsa,“ katanya pada sesi mesyuarat pakatan peralihan saksama yang dianjurkan bersempena penganjuran Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Riyadh, Arab Saudi, hari ini.

Tengku Zafrul juga menekankan bahawa langkah peningkatan berkaitan perdagangan juga dilihat berpotensi menjadi mekanisme perlindungan yang secara tidak adil boleh menjejaskan pengeluaran dan perdagangan global, khususnya bagi negara pesat membangun.

“Langkah-langkah boleh berperanan sebagai instrumen sempadan dan pematuhan kepada langkah-langkah ini pastinya menjadi rumit dan mungkin terlalu mahal untuk ditanggung oleh kebanyakan pengeksport negara pesat membangun,“ katanya.

Pada masa sama, Tengku Zafrul menegaskan bahawa sebarang tindakan membiarkan perkara itu tanpa ditangani, berpotensi menjejaskan daya tahan dan perdagangan serta tarikan pelaburan di negara-negara pesat dan kurang membangun.

Beliau turut memetik laporan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengenai barangan dan perkhidmatan alam sekitar yang berdepan purata tarif sebanyak 4.3 peratus selain pelbagai langkah bukan tarif.

“Kos pematuhan misalnya seperti pensijilan boleh menjadi mahal, terutama bagi perusahaan kecil dan sederhana di negara-negara sedang pesat membangun.

“Kekangan sedemikian memerlukan pendekatan kerjasama iaitu negara maju tidak hanya mengenakan piawaian berkaitan, tetapi juga harus memudahcara pematuhan melalui sokongan teknikal dan kewangan,“ katanya.

Beliau berkata susulan kesukaran daripada piawaian ESG yang menjadi halangan bukan tarif dan keperluan penting untuk pembinaan kapasiti dan dasar perdagangan adil, pendekatan menyeluruh adalah penting dalam memastikan kelestarian alam sekitar dan ekonomi yang saksama, terutamanya bagi negara-negara sedang membangun.

“Sehubungan itu, Malaysia menyokong dan menyambut baik sebarang perbincangan untuk mewujudkan peraturan perdagangan pelbagai hala yang berkesan mengenai perdagangan dan pembangunan yang mampan.

“Komitmen kami jelas terbukti melalui inisiatif dasar di peringkat negara seperti Dasar Pelaburan Baharu, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Rangka Kerja Industri ESG dengan kesemuanya bertujuan mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya.