KUCHING: Lebih 10,000 pesalah di seluruh negara telah dikenakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) sejak hukuman itu diperkenalkan pada 2008 hingga tahun lepas.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata daripada jumlah itu, 8,125 merupakan pesalah muda diikuti 2,163 pesalah kanak-kanak dan 234 pesalah dewasa.
Beliau berkata kes-kes berkenaan melibatkan pelbagai kesalahan dengan tempoh maksimum khidmat masyarakat yang boleh dikenakan terhadap pesalah adalah selama 240 jam.
“Kita semua pernah buat silap. Bezanya bukan semua orang diberi peluang kedua tetapi melalui PKM, kita beri ruang kepada pelatih memperbaiki diri.
“PKM bukan sekadar hukuman alternatif, ia adalah ruang pemulihan yang membina semula keyakinan, membentuk jati diri dan memberi peluang kedua untuk kembali sebagai anggota masyarakat yang lebih baik,” katanya semasa berucap pada Program Ilmu dan Bakti Perintah Khidmat Masyarakat di sini hari ini.
Nancy berkata kajian Universiti Utara Malaysia (UUM) menunjukkan keberkesanan PKM dalam memberi kesan positif terhadap sikap, emosi dan integrasi sosial para pelatih.