KOTA BHARU: Kebakaran di tapak pengumpulan bahan kitar semula di kawasan perindustrian Padang Tembak, Pengkalan Chepa di sini telah berjaya dipadamkan sebanyak 85 peratus.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan Khairul Ariffin Che Ramli berkata hanya tinggal 15 peratus lagi kawasan yang perlu dipadamkan.

Beliau berkata bomba menjangkakan kerja memadamkan api akan selesai tidak lama lagi jika tiada sebarang masalah dan hingga kini anggota yang bertugas masih berada di lokasi bagi memantau sisa api yang ada untuk dipadamkan sepenuhnya.

“Bahan kitar semula ini apabila terbakar akan mengambil masa yang lama untuk padam kerana ia terdiri daripada sisa pepejal seperti getah, plastik, kain dan PVC.

“Oleh itu, kami perlu membuat pemeriksaan kawasan terbakar dengan teliti kerana dibimbangi masih ada bara api yang menyebabkan kebakaran berulang,“ katanya kepada Bernama di lokasi kejadian hari ini.

Pada 27 Okt lepas, tapak pengumpulan bahan kitar semula berkenaan terbakar 80 peratus pada kira-kira 6 petang dan 40 anggota bomba terlibat dalam usaha memadam kebakaran itu dengan bantuan lima jentera dan empat lori tangki air.