SIBU: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai berhampiran Jeti Pelabuhan Perikanan LKIM Tanjung Manis, kira-kira 100 kilometer dari sini, awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian menimpa Tan San Belati, 40, dari Sungai Mapai, Kanowit pada 1.56 pagi.

“Ketika kejadian, mangsa yang memakai seluar jeans pendek dan baju biru berkolar dilaporkan dalam perjalanan pulang ke kapal pukat tunda untuk berehat selepas bertemu rakan sekerja.

“Mangsa dipercayai tergelincir lalu terjatuh ke dalam sungai semasa menuruni jeti,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis melibatkan lima anggota dan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) yang ditangguhkan pada 3.23 pagi, bersambung 8 pagi tadi.