ALOR SETAR: Seorang lelaki maut dipercayai akibat ditetak menggunakan senjata tajam dalam kejadian di sebuah kedai kopi di Taman Damai, Padang Serai dekat Kulim hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim DSP Safuan Md Noor berkata dalam insiden pada kira-kira 1.20 tengah hari itu, mangsa yang berusia 27 tahun telah diserang oleh dua lelaki bersenjatakan parang dan sabit.

“Mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori telah dikejar oleh kedua-dua suspek dari luar kedai. Mangsa yang cuba menyelamatkan diri dengan memasuki sebuah kedai kopi bagaimanapun telah ditetak sehingga rebah sebelum meninggal dunia di dalam kedai kopi berkenaan.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian tangan, dada, belakang badan dan muka akibat kesan serangan menggunakan senjata tajam itu. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata motif kejadian masih dalam siasatan dan usaha mengesan kedua-dua suspek masih dijalankan.

“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian untuk menghubungi ASP Azmirul Abd Aziz di talian 019-4446 521 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim di talian 04-4906 222,” katanya sambil menambah siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image