KUANTAN: Seorang lelaki berusia 32 tahun meninggal dunia akibat sesak nafas ketika mendaki Bukit Galing di Jalan Haji Ahmad, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata mangsa, Mohammad Zakaria Ahmad pekerja syarikat logistik dan belum berkahwin dari Kampung Sungai Ular di sini, mendaki bukit tersebut bersama tiga anak saudaranya kira-kira 9 pagi.

Beliau berkata anak saudaranya, Mohd Firas Darwisy mendapati mangsa semasa berada di puncak bukit kira-kira 11 pagi berada dalam keadaan lemah dan mengadu mengalami sesak nafas.

“Pada 1.10 tengah hari, pihak bomba dan penyelamat seramai tujuh anggota sampai di tempat kejadian dan mangsa diberi bantuan awal oksigen sebelum dibawa turun menggunakan pengusung.

“Ketika dalam perjalanan turun ke kaki bukit, mangsa mengadu sakit di bahagian dada, seterusnya tidak sedarkan diri. Usaha menurunkan mangsa sukar ekoran laluan curam dan memakan masa hampir tiga jam untuk sampai ke kaki bukit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa yang tidak mempunyai sejarah penyakit dan aktif mendaki disahkan meninggal dunia kira-kira 7.20 malam.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mangsa dipercayai mengalami serangan jantung,“ katanya.