• 2025-07-23 08:18 PM

SHAH ALAM: Seorang lelaki warga Pakistan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas lima pertuduhan membabitkan liwat, amang seksual, dan rompak terhadap dua kanak-kanak dan dua remaja lelaki antara April dan Jun lepas.

Muhammad Hassan, 24, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Urdu.

Dua pertuduhan membabitkan persetubuhan luar tabii terhadap remaja lelaki berusia 19 dan 15 tahun tanpa kerelaan mereka pada 26 Jun dan 18 Mei di sekitar Seksyen 27 Shah Alam. Kesalahan ini di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Muhammad turut didakwa merompak RM230 milik remaja berusia 19 tahun pada waktu dan tempat yang sama, mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga 14 tahun serta denda atau sebat.

Selain itu, dia didakwa melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak lelaki berusia lapan dan 13 tahun sekitar Mei dan Jun lepas di kawasan sama. Pertuduhan ini di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017, dengan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal dan Ruthra Raj Selvarajoo, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Nurul Sofea tidak menawarkan jaminan, dan Muhammad memohon mahkamah melantik peguam bagi pihaknya kerana tiada kenalan atau keluarga di Malaysia.

Hakim Norazlin Othman menetapkan 23 September untuk penyerahan dokumen dan lantikan peguam. - Bernama