SIBU: Seorang warga emas lelaki ditemukan rentung di tempat duduk pemandu sebuah kereta yang terbakar di jalan masuk ke sebuah kawasan ladang kelapa sawit di Suai, Niah, kira-kira 90 kilometer dari bandar raya Miri di utara Sarawak lewat malam tadi (Jumaat).

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata mangsa dikenali sebagai Chen Kian Seong, 63, dari Bandar Baru Permyjaya, Miri.

Menurutnya panggilan kecemasan diterima pada 11.05 malam dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah telah digerakkan ke lokasi.

“Kebakaran melibatkan sebuah kereta Proton Wira Aeroback telah terbakar 100 peratus dan api telah padam sepenuhnya sebelum pasukan bomba tiba di lokasi. Setelah melakukan pemeriksaan terdapat seorang mangsa rentung di tempat duduk pemandu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tiada operasi pemadaman dilakukan dan anggota bomba dan penyelamat hanya membantu mengeluarkan mayat mangsa rentung berkenaan daripada kenderaan dan seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.