SUNGAI GOLOK: Polis Sungai Golok menutup lebih lima pangkalan haram di sekitar kawasan insiden letupan bom dan tembakan di Pasemas, Wilayah Narathiwat, di sini tengah malam semalam.

Ketua Polis Sungai Golok Pol Col Jadsadavit Inprapan yang menggunakan penterjemah bahasa berkata penutupan pangkalan itu untuk sementara waktu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut dan mengumpul maklumat daripada penduduk tempatan.

“Buat masa sekarang keadaan masih terkawal dan penduduk masih menjalankan urusan seperti biasa, malah kedatangan pelancong dari Malaysia tidak terjejas,” katanya kepada pemberita selepas melawat empat anggota polis yang cedera dalam insiden itu di Hospital Sungai Golok di sini hari ini

Sementara itu, empat anggota polis Thailand yang cedera dalam insiden itu kini dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Golok.

Hari ini, Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun dilapor berkata sempadan Malaysia-Thailand khususnya di Rantau Panjang dibuka seperti biasa dan tidak ditutup susulan insiden itu.

Semalam, Polis Diraja Malaysia mempertingkatkan kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand susulan insiden tersebut yang mengakibatkan empat anggota keselamatan Thailand cedera.