GUA MUSANG: Sebanyak lima jenis barangan yang disenaraikan dalam pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Tahun Baharu Cina 2023 di Kelantan, masih mencukupi dan terkawal.

Lima barangan terbabit ialah kobis bulat import, ubi kentang import, bawang putih, ikan bawal putih dan udang putih.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail berkata fasa pemantauan yang bermula Ahad lalu mendapati, tiada sebarang aduan diterima pihaknya setakat ini daripada peniaga mengenai kekurangan bekalan barangan terbabit.

“Alhamdulillah, lima barangan untuk SHMMP Tahun Baharu Cina di Kelantan masih mencukupi dan kita tidak terima aduan daripada pasar raya mengenai bekalan tidak cukup dan sebagainya, kita masih boleh kawal lagi setakat ini,” katanya selepas pemantauan di kilang minyak masak Cap Cincin dekat Bandar Utama di sini hari ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai bekalan telur ayam di negeri itu, Azman berkata bekalan telur ayam gred biasa masih kurang mencukupi seperti yang dipohon oleh peniaga kerana mendapat permintaan tinggi dari pengguna.

“Bekalan (telur biasa) ada tapi tidak seperti kebiasaan dan berdasarkan pemantauan di kebanyakan pasar raya, bekalan sampai dalam kuantiti yang kurang dari yang diminta. Sebagai contoh, pasar raya terbabit mahu 2,000 papan, tetapi hanya dapat 200 papan menyebabkan telur cepat habis dan pasar raya terpaksa hadkan pembelian,” katanya.

Sebanyak lapan jenis barangan diwartakan dalam pelaksanaan SHMMP sempena Tahun Baharu Cina 2023 yang berlangsung dari 15 hingga 29 Jan. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image