• 2025-07-26 02:04 PM

GEORGE TOWN: Lima orang cedera parah manakala seorang lagi mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di sini malam tadi. Kejadian berlaku apabila sebuah Proton X70 melanggar beberapa kenderaan di tiga lokasi berbeza.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata kemalangan itu berlaku sekitar pukul 8.30 malam. Proton X70 yang dipandu seorang lelaki berusia 50 tahun terlebih dahulu melanggar belakang sebuah Perodua Myvi di simpang lampu isyarat Jalan Perak.

“Pemandu Proton X70 kemudian meneruskan pemanduan dan melanggar dua motosikal, iaitu Honda Vario dan Honda C100, di lokasi berbeza di Jalan Perak. Selepas itu, kenderaan sama melanggar belakang sebuah Honda City di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu,“ jelasnya.

Mangsa yang mengalami kecederaan ringan ialah pemandu Myvi berusia 44 tahun. Manakala pemandu Proton X70, dua penunggang motosikal Honda C100 (56 dan 15 tahun), penunggang Honda Vario (29 tahun), dan pemandu Honda City (29 tahun) mengalami kecederaan parah.

Kesemua mangsa, yang merupakan warga tempatan, dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan. Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 - BERNAMA