• 2025-09-08 09:24 PM

MOSCOW: Hampir semua laluan London Underground digantung pada Isnin selepas Kesatuan Pekerja Kereta Api, Maritim dan Pengangkutan (RMT) United Kingdom (UK) melancarkan mogok, menyebabkan rangkaian pengangkutan ibu kota itu lumpuh, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Menurut laman web Transport for London (TfL), mogok yang diumumkan pada Ogos lalu berhubung pertikaian gaji dan syarat kerja itu telah menghentikan hampir keseluruhan perkhidmatan Tube, dengan hanya beberapa bahagian kecil daripada tiga laluan masih beroperasi. Docklands Light Railway yang berkhidmat di City of London masih beroperasi, tetapi dijangka ditutup sama ada pada Selasa atau Khamis sebagai sebahagian daripada mogok berasingan. Perkhidmatan Overground lain pula masih berjalan.

Laman web TfL sempat tergendala pada pagi Isnin akibat trafik tinggi, menghalang ramai penumpang merancang perjalanan. Penutupan laluan bawah tanah itu bermula pada Ahad, apabila sebahagian laluan ditutup secara berperingkat pada sebelah petang dan menjelang malam kebanyakan laluan ditutup sepenuhnya. Ramai penumpang terkejut dengan mogok itu. Di stesen kereta api King’s Cross pada malam Ahad, ramai penumpang mendapati pintu masuk Tube ditutup.

Seorang wartawan RIA Novosti melaporkan ramai penumpang tidak mengetahui sebab penutupan itu kerana tiada pengumuman rasmi mengenai penggantungan perkhidmatan. Barisan panjang terbentuk di kawasan teksi dengan tempoh menunggu lebih sejam. Ada yang meluahkan rasa tidak puas hati, manakala ada juga yang menyatakan sokongan terhadap mogok itu.

Ramai majikan bersetuju supaya kakitangan bekerja dari rumah sepanjang minggu, manakala ada yang mengambil cuti tanpa gaji. Bagi mereka yang perlu bergerak, pilihan pengangkutan beralih kepada bas, kereta persendirian, kelab kereta, teksi dan basikal walaupun berdepan kos letak kereta yang tinggi.

Mogok itu turut menjejaskan kerja ahli politik: mesyuarat jawatankuasa eksekutif kebangsaan Parti Buruh yang dijadualkan berlangsung secara bersemuka pada tengah hari Isnin bagi membincangkan calon pengganti timbalan ketua Angela Rayner, diputuskan diadakan secara dalam talian, menurut Politico, akibat gangguan sistem pengangkutan.

Mogok dijangka berterusan sehingga pagi Jumaat. RMT menuntut kenaikan gaji dan pengurangan minggu bekerja daripada 35 kepada 32 jam. Terdahulu, TfL bersetuju menaikkan gaji pekerja sebanyak 3.4 peratus, tetapi menolak cadangan pemendekan waktu bekerja kerana dianggap tidak praktikal dan tidak mampu ditanggung.

Pada 2021, RMT pernah mengadakan mogok selama enam bulan yang menyebabkan gangguan besar terhadap pengangkutan di London - BERNAMA-Sputnik/RIA Novosti