BUKIT MERTAJAM: Sebuah lori tangki membawa muatan minyak sawit terlanggar penghadang besi di laluan Plaza Tol Juru arah utara di sini hari ini yang menyebabkan kira-kira 500 liter minyak tumpah.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.19 tengah hari tadi sebelum terus menggerakkan jentera ke lokasi kejadian.
Beliau berkata turut terlibat Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap.
“Komander operasi telah membuat size-up dan mengarahkan anggota bertindak melakukan kerja-kerja menutup lubang kebocoran pada tangki berkenaan bagi menghentikan aliran minyak dan membersihkan sisa tumpahan minyak dengan bantuan HAZMAT,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata sebanyak 13 pegawai dan anggota bomba terlibat dalam operasi menutup lubang kebocoran dan membersihkan tumpahan minyak berkenaan.