KOTA KINABALU: Loji Rawatan Air (LRA) Kasigui di Penampang terpaksa ditutup ekoran bencana banjir sejak dua hari lepas untuk memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan.

Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya, juga Menteri Kerja Raya Sabah, berkata bagaimanapun LRA lain di sini masih beroperasi seperti biasa.

“Kerja-kerja penyelenggaraan air di LRA Kasigui sedang dijalankan namun keadaan paras air sungai yang agak tinggi buat masa ini menjadi kekangan terhadap proses kerja-kerja penyelenggaraan yang dilakukan akibat bencana banjir,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi mengelakkan gangguan bekalan, Jabatan Air Negeri Sabah bersama Jetama Sdn Bhd mengambil inisiatif mengaktifkan muka sauk Madziang dan mengepam air mentah dari muka sauk itu untuk dirawat di LRA Kasigui sebelum diagih kepada pengguna.

“Pihak Jabatan Air Negeri Sabah akan sentiasa memantau loji-loji rawatan terutama di musim bencana banjir ini bagi memastikan air yang dikeluarkan adalah bersih dan selamat untuk digunakan,” katanya.

Shahelmey turut menasihati orang ramai agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan peka terhadap perubahan cuaca yang tidak menentu ketika ini.