KUALA LUMPUR: Dilihat dari luar, tidak ada yang istimewa pada unit pangsapuri kos rendah di Pandan Indah ini dengan warna cat bangunan yang sudah pudar dimamah elemen alam, sementelah dibina lebih 35 tahun dulu.
Tipikal perumahan kos rendah, keadaan persekitaran juga tidak memberi pembayang bahawa di Merpati A Apartment ini tersembunyi sebuah unit di tingkat dua yang dekorasi dalamannya mengalahkan kondominium mewah.
Dimiliki pasangan suami isteri Muhammad Izzat Che Baharu, 34 dan Nur Amirah Shari, 35, kediaman berkeluasan 640 kaki persegi itu dihias dengan konsep minimalis namun tampak mewah kerana mereka bijak menyusun atur perabot yang diserlahkan menerusi cat berona lembut.
Jurugambar di Koperasi Permodalan Felda itu berkata rumah tersebut dibeli oleh ayahnya pada 1990 dan dijadikan rumah sewa sebelum dia memutuskan untuk tinggal di situ selepas mendirikan rumah tangga pada 2022.
“Sebelum kahwin saya memang dah impikan untuk hias rumah dengan tema minimalis. Jadi, apabila kami pindah ke sini, banyak yang kami lakukan pada rumah ini dengan kos keseluruhan kira-kira RM31,000,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya baru-baru ini.
Lulusan Diploma Pengaturcaraan Komputer daripada Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin itu berkata bagi merealisasikan dekorasi impiannya, dia menggunakan satu perisian di telefon pintarnya bagi merancang susun atur rumah.
“Semuanya saya lakar dan rancang dulu. Idea pula saya banyak tengok di media sosial macam Pinterest, TikTok atau IKEA. Kita ubah suai ikut kemampuan dan keluasan rumah. Perabot pula kebanyakan beli dalam talian dan ada juga di kedai perabot,” kata bapa kepada seorang anak ini.
Walaupun menghadapi pelbagai cabaran khususnya ketika mengangkut barang besar dan berat ke tingkat dua pangsapuri yang tidak memiliki kemudahan lif itu selain kekangan waktu untuk bertukang, mereka berjaya menghasilkan sebuah kediaman yang bukan saja selesa didiami tapi juga indah dipandang.
“Bagaimanapun saya terpaksa menguburkan hasrat untuk mempunyai pokok hidup di dalam rumah kerana keadaan ruang tidak mengizinkan,” katanya, menambah rumah yang indah mencerminkan harga diri walaupun hanya duduk di rumah kos rendah.
Turut berkongsi pengalaman, Nur Syafiqah Ahmad Suhaimi, 30, yang tinggal di Pangsapuri Rimbun, di Balik Pulau, Pulau Pinang, yang mengubah suai kediaman pangsapuri kos rendahnya sehingga kelihatan seperti kondominium mewah.
Menyifatkan rumah bukan sahaja tempat berteduh tetapi juga ruang melepaskan lelah setelah seharian mencari rezeki, ibu kepada tiga orang anak ini tidak menjadikan kesibukan menguruskan rumah tangga dan juga kerjaya sebagai halangan untuk merealisasikan rumah impiannya.
“Rumah ini asalnya hanya (berlantai) simen saja dan pendawaian pun setakat yang asas. Jadi, semua kena buat... tukar kepada lantai vinil, pendawaian, perabot dan kabinet dapur. Kesemua ini mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk lengkap,” kongsinya.
Menurutnya, dia membelanjakan lebih RM20,000 untuk menghias rumah itu, namun “berbaloi kerana tetamu yang datang memuji serta kagum dengan dekorasi yang saya lakukan.
“Malah, jiran-jiran juga turut terinspirasi untuk menghias rumah seperti rumah saya,” katanya.