• 2025-09-08 06:50 PM

MELAKA: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) terus komited memperkukuh kesiapsiagaan pengurusan kecemasan di rangkaian lapangan terbang kendaliannya, selaras piawaian antarabangsa bagi menjamin keselamatan penumpang.

Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani berkata dengan hampir 60 juta penumpang yang telah menggunakan rangkaian lapangan terbang seluruh Malaysia setakat Julai 2025, tahap kesiapsiagaan adalah asas keyakinan dunia terhadap lapangan terbang di negara ini.

“Komitmen ini juga dizahirkan menerusi perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) dengan memastikan setiap anggota dan pegawai sentiasa mematuhi Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam (Pengendalian Aerodrom) 2016.

“Selain memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) selari dengan standard dan amalan dicadangkan (standard and recommended practices) yang digariskan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO),“ katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau berucap pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan AFRS siri ke-14 yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam di sini hari ini.

Mohd Izani berkata pematuhan itu juga penting bagi memastikan lapangan terbang di Malaysia kekal pada tahap tertinggi dari segi pengurusan kecemasan dan operasi.

Beliau berkata AFRS merupakan barisan hadapan keselamatan operasi penerbangan yang dituntut untuk bertindak pantas, berpengetahuan, berdisiplin dan berani dalam mengendalikan sebarang kecemasan di lapangan terbang.

“AFRS juga adalah nadi keselamatan lapangan terbang dan keyakinan terhadap kesiapsiagaan pengurusan kecemasan ialah asas pengalaman terbaik bagi setiap pelawat di tanah air dan langkah ini menjadi elemen penting dalam persediaan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026,“ katanya.

Majlis itu turut menyaksikan seramai 159 pelatih menamatkan latihan intensif selama 23 minggu bermula 15 April lepas yang merangkumi tiga fasa utama iaitu fasa peralihan dan penyatuan, fasa latihan asas dan fasa terakhir iaitu ‘on the job training’ atau latihan pekerjaan.

Beliau berkata latihan itu bukan sekadar menguji ketahanan fizikal dan mental, tetapi turut membentuk disiplin, semangat setiakawan, kekuatan kerohanian serta pengetahuan teknikal dan undang-undang penerbangan awam selaras piawaian antarabangsa- BERNAMA