KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan pendakwaan agar kes lima anggota keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram di Johor yang berdepan sembilan pertuduhan berasingan berkaitan keganasan, dibicarakan bersama.
Mereka terdiri daripada bapa penyerang berkenaan Radin Imran Radin Mohd Yassin, 63; ibunya Rosna Jantan, 60; dan tiga adik-beradiknya iaitu Radin Romyullah Radin Imran, 35; Farhah Sobrina Radin Imran, 24; dan Mariah Radin Imran, 20.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin yang menolak permohonan itu berkata sekiranya kes lima tertuduh itu dibicarakan bersama, ia akan memprejudiskan mereka.
“Setelah menimbang hujahan pihak pendakwaan dan peguam responden, mahkamah menolak permohonan pendakwaan agar kes kelima-lima responden dibicarakan sekali,“ katanya.
Bagaimanapun, hakim membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes melibatkan responden ketiga (Rosna), keempat (Mariah) dan kelima (Farhah Sobrina) yang masing-masing berdepan satu pertuduhan, dibicarakan sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam berkata pihaknya memohon kes lima tertuduh itu dibicarakan bersama kerana melibatkan kesalahan, transaksi, lokasi dan tempoh masa yang sama.
“Sekiranya kes responden ketiga, keempat, dan kelima dibicarakan bersama dengan dua responden lagi, ia tidak memprejudiskan ketiga-tiga responden itu kerana kes mereka berkaitan dengan dua responden terbabit,“ katanya.
Bagaimanapun, peguam Faizal Rahman yang mewakili lima responden itu, membantah permohonan pendakwaan kerana berpandangan ia akan memprejudiskan responden ketiga, keempat dan kelima memandangkan tempoh masa kejadian tidak sama dengan dua responden itu.
Pada 30 Sept tahun lepas, di hadapan Hakim Datuk Noorin Badaruddin (kini Hakim Mahkamah Rayuan), Rosna mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan gagal memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru antara April 2017 hingga 17 Mei tahun lepas.
Sementara itu pada 16 Okt 2024, di hadapan Hakim K. Muniandy, Radin Romyullah juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh di sebuah rumah di lokasi sama.
Pada 23 Okt tahun lepas, Radin Imran mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menanam fahaman ideologi keganasan, memberi sokongan kepada perbuatan pengganas, memiliki senjata api untuk menjalankan aktiviti berkaitan keganasan dan memiliki sebuah buku berkaitan kumpulan pengganas selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid.
Di hadapan hakim sama pada tarikh sama (23 Okt) anak perempuan Radin Imran, Farhah Sobrina turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja enggan memberi maklumat berkenaan berkaitan ideologi keganasan manakala pada 27 Nov 2024, Mariah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama di hadapan Hakim Muniandy.
Dalam serangan di balai polis Ulu Tiram pada 17 Mei tahun lepas, dua konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, cedera ditembak selepas diserang seorang penyerang lelaki yang akhirnya ditembak mati dalam insiden tersebut.