• 2025-07-07 08:42 PM

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bertekad memastikan pentadbiran Islam di negeri ini terus berpegang kepada prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah serta bebas daripada pengaruh ajaran menyimpang.

Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin, menegaskan komitmen itu selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang menekankan kemurnian akidah sebagai teras perpaduan umat Islam.

Menurut Salehuddin, MAIS akan bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Mufti, dan agensi berkaitan untuk mempergiat program pencerahan dan pemahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Ini termasuk pengajaran agama oleh pemegang tauliah serta aktiviti pengimarahan di masjid dan surau,“ jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mengalu-alukan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2025 oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Pindaan itu antara lain mewajibkan pelantikan anggota MAIS, Jawatankuasa Fatwa, dan jawatankuasa tauliah terdiri daripada individu yang berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Langkah ini penting untuk menghalang pengaruh ekstrem, liberal, atau ajaran sesat dalam pentadbiran hal ehwal Islam di Selangor,“ ujarnya.

RUU tersebut diluluskan sebulat suara selepas dibahaskan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). - Bernama