Your Title

PUTRAJAYA: Peningkatan kemasukan pekerja asing ketika ini berpunca daripada tindakan majikan membawa masuk pekerja menjelang tarikh akhir Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0, esok, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh.

Beliau berkata lazimnya setiap hari ketibaan pekerja asing antara 500 dan 1,000 orang, namun jumlah ketibaan meningkat sehingga 2,500 orang pada 22 Mei dan 4,500 pekerja pada 27 Mei lepas.

“Jabatan Imigresen menjangkakan bilangan ketibaan terus meningkat sehingga esok, berdasarkan makluman daripada syarikat penerbangan yang akan menambah jumlah penerbangan bagi memenuhi permintaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi mengatasi situasi itu, Ruslin berkata pihaknya bekerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Berhad mengambil langkah segera menguruskan kesesakan untuk memastikan keselesaan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terjamin.

Langkah yang dilaksanakan termasuk menambah bilangan kaunter untuk mempercepat proses semakan dan pengesahan; menambah bilangan pegawai Imigresen untuk menguruskan ketibaan pekerja asing dan kebajikan golongan itu seperti menyediakan makanan serta minuman ketika mereka berada di terminal KLIA.

“Jabatan Imigresen akan terus memantau dan menambah baik situasi ini dan mengesa majikan untuk memberikan kerjasama penuh dengan hadir segera bagi menyelesaikan proses pemeriksaan Imigresen pekerja mereka yang seterusnya akan mengurangkan kesesakan di balai ketibaan,” katanya.

Pada 8 Mac lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata tarikh akhir pengambilan pekerja asing menerusi program itu akan dikekalkan atas faktor keselamatan negara.

Keputusan berkenaan dicapai secara kolektif oleh semua agensi kawal selia di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kementerian berkaitan program rekalibrasi itu.