PUTRAJAYA: Malaysia telah dinaik taraf ke kedudukan Tahap 2 (Tier 2) dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang 2024 yang diumumkan di Washington, Amerika Syarikat semalam.

Dalam kenyataan mengenai pencapaian itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyambut baik peningkatan positif Malaysia yang berjaya dinaik taraf ke Tahap 2 dalam laporan berkenaan.

“Peningkatan ini adalah amat strategik dan sangat signifikan kerana Malaysia sebelum ini dinilai pada Tahap 2 Pemerhatian (Tier 2 Watchlist) pada 2023 dan kali terakhir berada di Tahap 2 adalah pada 2017,” menurut kenyataan itu.

KDN memaklumkan kejayaan ini adalah hasil usaha pelbagai pihak berkepentingan yang turut memberi sumbangan bermakna dan berterusan dalam menjayakan agenda membanteras pemerdagangan orang di Malaysia.

Antara pencapaian signifikan yang direkodkan adalah peningkatan bilangan penyiasatan, sabitan kes dengan hukuman yang signifikan, program kesedaran dan pendakwaan terhadap penjawat awam.

Selain itu, pencapaian signifikan adalah melalui peningkatan pendakwaan kes pemerdagangan buruh, penyaluran peruntukan kepada rumah perlindungan serta peningkatan kelulusan kebenaran bergerak bebas kepada mangsa pemerdagangan orang.

“Laporan ini juga menggariskan 16 perkara penambahbaikan dan pelan tindakan yang boleh dilaksanakan oleh Malaysia untuk penilaian tahun berikutnya iaitu mulai 1 April 2024 hingga 31 Mac 2025,” menurut KDN.

Selain itu, KDN memaklumkan laporan itu juga merekodkan perkara penambahbaikan baharu iaitu memberi perkhidmatan berpaksikan mangsa kepada semua tanpa syarat yang memerlukan penyertaan mereka dalam prosiding jenayah.

“Tiga fokus utama telah direncana bagi memandu hala tuju pelaksanaan usaha negara iaitu mempertingkatkan kerjasama antara agensi, memperhebat usaha mengenal pasti dan melindungi mangsa serta menambah baik proses pendakwaan,” menurut kenyataan itu.

KDN memaklumkan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) yang diterajui oleh KDN bersama-sama dengan kementerian dan agensi kerajaan beriltizam melaksanakan tindakan dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang di Malaysia termasuklah dalam menangani trend terbaharu melibatkan penipuan pekerjaan dan insiden pekerja terabai.

“Usaha menoktahkan pemerdagangan orang ini memerlukan kerjasama erat pelbagai pihak berkepentingan,” menurut KDN.

KDN dan MAPO terbuka untuk berganding bahu dengan badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat Madani (CSO), pertubuhan antarabangsa, perwakilan diplomatik asing, ahli akademik dan pihak majikan dalam menangani isu ini melalui pendekatan menyeluruh negara.

“Komitmen ini diharap dapat menghasilkan inisiatif signifikan berdasarkan teras perundangan, penguatkuasaan, perlindungan dan pencegahan merentasi fungsi pihak berkepentingan yang boleh meningkatkan usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang di Malaysia,” menurut kenyataan itu.