• 2025-10-03 04:34 PM

KUALA LUMPUR: Malaysia meminta bantuan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan untuk membawa pulang sukarelawan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotila (GSF) dan kini ditahan tentera Israel, dengan menggunakan pesawat khas Turkiye.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata permintaan itu dibuat susulan perkembangan positif hasil perbincangan diplomatik dengan beberapa pemimpin utama dunia termasuk Erdogan, Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio.

“Saya telah meminta jasa baik Presiden Erdogan supaya jika boleh, membawa mereka (sukarelawan negara) dari mana-mana lokasi sekitar Israel ke Istanbul dengan pesawat khas Turkiye yang akan mengambil rakyatnya sendiri.

“Dari Istanbul, insya-Allah kita akan bawa pulang rakyat Malaysia. Beberapa persefahaman awal telah dicapai sejak pagi tadi,” kata beliau.

Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Khadijah Jalan Pantai Sentral 2, di Lembah Pantai hari ini.

Anwar berkata hubungan erat Malaysia dengan Amerika Syarikat, Qatar dan Turkiye banyak membantu usaha pembebasan sukarelawan yang ditahan dan perkara itu diperakui oleh Ketua Keselamatan Negara Turkiye Dr Ibrahim Kalin.

Beliau berkata walaupun Malaysia tiada sebarang hubungan dengan rejim Zionis Israel, saluran diplomasi dengan negara-negara sahabat banyak membantu dalam menguruskan usaha berkenaan.

“Saya sendiri bercakap dengan Perdana Menteri Qatar untuk mendapatkan perkembangan terkini, selain itu, kita juga berhubung dengan pihak Amerika Syarikat, termasuk Setiausaha Negara Marco Rubio serta Steve Witkoff (Utusan Khas Amerika Syarikat ke Timur Tengah) yang membantu menyelaras perjanjian.

“Melalui (Menteri Luar) Datuk Mohamad Hasan di luar negara dan Datuk Seri Saifuddin Nasution dalam negeri, kita teruskan komunikasi dengan Presiden Turkiye Erdogan dan beliau telah menugaskan Ketua Keselamatan Negara Turkiye Dr Ibrahim Kalin untuk membantu kita dan ini penting kerana kita memerlukan tekanan antarabangsa yang menyeluruh.

“Inilah yang kita maksudkan dengan kebijaksanaan diplomasi, kita berhubung rapat dengan semua pihak, kerana yang benar-benar boleh mempengaruhi Israel ialah Amerika Syarikat, oleh itu, kita menggunakan saluran Qatar dan Turkiye untuk menyampaikan pandangan kita,” kata Perdana Menteri.

Anwar turut memaklumkan semua rakyat Malaysia yang ditahan dalam keadaan selamat walaupun ditahan secara zalim dan menegaskan bahawa usaha pembebasan mereka akan diteruskan menggunakan semua cara dan kaedah yang munasabah.

“Tugas utama saya ialah mencari jalan untuk menyelamatkan mereka, apa juga cara dan kaedah yang munasabah. Kita juga berdoa agar Allah SWT melindungi mereka.

“Kita berharap jangan ganggu rakyat kita, jangan dera mereka. Penjara itu sendiri sudah satu penderaan. Namun, setakat ini laporan daripada pihak Turkiye menunjukkan keadaan mereka terkawal,” kata beliau.

Anwar berkata proses membawa pulang semua sukarelawan Malaysia dijangka dalam tempoh dua atau tiga hari, sekiranya segala proses rundingan berjalan lancar.

Semalam, Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby mengesahkan 23 aktivis Malaysia telah ditahan tentera Israel selepas komunikasi terputus serta visual menunjukkan penahanan mereka.

GSF disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel.

Misi kemanusiaan itu mendapat perhatian dunia apabila turut disertai tokoh antarabangsa termasuk aktivis iklim Greta Thunberg, pelakon Hollywood Susan Sarandon serta cucu Nelson Mandela, Mandla Mandela - Bernama