KUALA LUMPUR: Malaysia kini mempergiat usaha untuk merapatkan jurang kecerdasan buatan berikutan teknologi itu semakin berkembang sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan inovasi.
Laporan Tinjauan Ekonomi 2026 menyatakan penggunaan teknologi AI dijangka dapat meningkatkan daya saing dalam pelbagai bidang sosioekonomi.
Teknologi ini membolehkan pengoperasian perniagaan dilakukan dengan lebih cekap sambil mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan taraf hidup.
Data Kementerian Digital 2024 menunjukkan integrasi AI berpotensi menyumbang sekitar 115 billion dolar AS atau 485 billion ringgit kepada nilai ditambah ekonomi negara.
Potensi ini perlu direalisasikan dengan mempercepat penggunaan AI serta membolehkan manfaat dinikmati secara menyeluruh.
Tahap Ketersediaan AI Malaysia menunjukkan kemajuan ketiga seperti dilaporkan dalam Stanford AI Index 2024 dan Oxford Government AI Readiness Index.
Prestasi ini selaras dengan aspirasi kerajaan menjadikan Malaysia sebagai negara AI yang terangkum dan mampan menjelang 2030.
Usaha itu diperkukuh dengan pelaksanaan strategi dan rangka kerja kebangsaan termasuk Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia 2021-2030.
Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021-2025 serta Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan Negara turut menyokong matlamat ini.
Penubuhan Pejabat AI Kebangsaan memperkukuh lagi usaha membangunkan ekosistem AI di Malaysia.
Bagaimanapun tahap keupayaan dan ketersediaan syarikat untuk memanfaatkan sepenuhnya AI masih terhad.
Indeks Kesediaan AI Cisco 2024 menunjukkan tahap penggunaan AI di peringkat perusahaan masih sederhana dengan kesediaan infrastruktur sebagai penghalang utama.
Antara halangan utama penggunaan AI dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana ialah kepakaran dan pengetahuan aplikasi praktikal yang terhad.
Ketidakpastian dalam pulangan pelaburan dan kekurangan pembiayaan kewangan berkaitan AI turut membataskan penerimaan teknologi ini.
Program latihan semula dan peningkatan kemahiran tidak seragam dan terhad bagi memenuhi permintaan tinggi terhadap tahap kecekapan AI.
Jurang infrastruktur digital terutamanya di kawasan luar bandar dan terpencil menyebabkan gangguan akses kepada ketersambungan berkelajuan tinggi yang stabil.
Hal ini mengehadkan penggunaan aplikasi perkhidmatan berasaskan awan dan masa nyata yang berkesan.
Kekurangan set data yang sedia digunakan untuk AI turut menjadi penghalang kepada manfaat AI yang bakal diperoleh.
Kerajaan berhasrat untuk memperkukuh ekosistem inovasi memodenkan infrastruktur dan melindungi masa depan tenaga kerja.
Aspirasi Malaysia untuk menjadi hab teknologi digital serantau serta mempromosikan produk dan perkhidmatan Buatan Malaysia akan diteruskan.
Usaha akan difokuskan melalui penyediaan kemudahan dan sokongan bersasar bagi menggalakkan kerjasama lebih erat dalam kalangan penyelidik universiti dan institusi penyelidikan kerajaan.
Pihak swasta digalakkan memainkan peranan lebih signifikan dalam penyediaan hab inkubasi dan medan ujian.
Kerajaan akan terus menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam dengan memanfaatkan AI ke arah pembuatan keputusan berdasarkan data.
Perkhidmatan GovTech akan diperluas menerusi pendekatan menyeluruh kerajaan bagi memodenkan sektor awam.
Penyelarasan operasi dan perkongsian data merentas kementerian dan agensi akan dilaksanakan bagi memastikan kecekapan maksimum.
Pejabat AI Kebangsaan telah diamanahkan untuk mempercepat penerimagunaan memupuk inovasi dan memastikan pembangunan AI yang lebih pantas.
Tujuh penghasilan utama termasuk penggubalan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2030 bagi memastikan penerimagunaan AI merentas semua sektor.
Rangka kerja khusus untuk AI akan diperkenalkan bagi memperkukuh ketelusan dan menggalakkan amatan beretika.
Pelaksanaan teknologi AI akan dipercepat bagi memastikan Malaysia mencapai status hab digital serantau.– Bernama