JOHOR BAHRU: Malaysia akan mempertimbangkan pilihan alternatif bagi memenuhi keperluan pertahanan udara negara berikutan kelewatan penghantaran pesawat pejuang F/A-18 Legacy Hornet dari Kuwait.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan ketidaktentuan ini timbul susulan penangguhan penerimaan pesawat baharu Kuwait dari Amerika Syarikat.
“Kita tidak boleh menunggu tanpa kepastian kerana Kuwait hanya boleh menyerahkan F/A-18 selepas mereka menerima pesawat baharu,” katanya selepas menghadiri Program Penyampaian Sumbangan Zakat Wakalah BHPetrol di Dewan Muafakat Taman Air Biru.
Beliau menegaskan pihaknya kini sedang meneliti pilihan lain agar Malaysia tidak berada dalam kedudukan yang merugikan termasuk menilai pesawat yang tersedia di pasaran.
“Kita perlu ada pilihan lain supaya tidak berada dalam keadaan yang tidak berpihak kepada kita,” tambahnya.
Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia Jeneral Datuk Seri Muhammad Norazlan Aris sebelum ini menyatakan pihaknya masih meneliti setiap aspek sebelum keputusan muktamad pembelian jet terpakai dari Kuwait.
Mohamed Khaled turut menyebut pembelian 18 jet pejuang FA-50 daripada Korea Aerospace Industries yang bakal diterima pada 2027 akan menampung keperluan pengoperasian TUDM.
“Kita juga akan melihat kemampuan jet pejuang Sukhoi MKM yang dimiliki ketika ini sama ada mencukupi untuk keperluan pertahanan negara.”
Kajian terperinci diperlukan memandangkan semua pesawat tempur ringan Hawk 108 dan Hawk 208 akan ditamatkan perkhidmatan secara berfasa mulai 2027. – Bernama