KUALA LUMPUR: Malaysia sedang mempertimbangkan untuk menawarkan pengecualian cukai sepenuhnya kepada sejumlah kecil pengeluaran daripada dana skim persaraan swasta (PRS) untuk tujuan kecemasan, kata Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Datuk Seri Awang Adek Hussin.

Beliau dalam ucaptama pada Simposium Perancangan Kewangan 2024 anjuran Persatuan Perancang Kewangan Malaysia (FPAM) berkata, skim persaraan swasta memainkan peranan penting sebagai tambahan kepada skim persaraan wajib awam dan bagi menawarkan fleksibiliti simpanan jangka panjang.

Bagaimanapun, terdapat keperluan untuk menyesuaikan rangka kerja PRS bagi menangani trend struktur jangka panjang, termasuk populasi meningkat tua, pendigitalan dan perubahan keadaan pekerjaan untuk memenuhi keperluan simpanan persaraan tempatan yang lebih baik, katanya.

Langkah lain yang sedang dipertimbangkan adalah menambah baik proses untuk ahli bertukar merentas dana dan penyedia.

Awang Adek berkata SC dan Private Pension Administrator (PPA) selaku pentadbir pusat bagi PRS akan bekerjasama dengan penyedia PRS bagi membangunkan proses digital untuk ahli menukar dana dengan lebih lancar.

“Ekosistem PRS meraih manfaat daripada kumpulan dana pelbagai yang tersedia untuk ahli. Jika dana pilihan ahli atau dana ingkar tidak memberikan pulangan setara dalam tempoh tertentu, mereka boleh bertukar kepada dana atau penyedia lain.

“Kemudahalihan antara penyedia PRS yang berbeza dibenarkan sekali dalam setahun. Proses ini sewajarnya mudah dan lancar untuk meningkatkan daya tarikan dan daya saing PRS dalam industri,” katanya.

Beliau menekankan peranan penting yang dimainkan oleh perancang kewangan untuk membantu rakyat Malaysia membuat perancangan bagi persaraan mereka.

“Jaminan persaraan Malaysia merupakan satu kebimbangan yang besar, yang diburukkan lagi oleh pandemik dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang dibenarkan pada masa itu,” katanya.