KLANG: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kekal komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memupuk minat pelajar dan belia terhadap sains, teknologi, dan inovasi (STI), kata Menterinya Chang Lih Kang.

Menurut beliau penganjuran Malaysia Techlympics 2024 yang mendapat sambutan lebih dua juta pelajar dan belia dari seluruh negara, merupakan antara usaha MOSTI dalam melahirkan lebih ramai bakat STI untuk masa hadapan.

“Pertandingan Malaysia Techlympics bukan sahaja berfungsi untuk memperkukuh minat murid sekolah terhadap sains dan teknologi, tetapi juga sebagai platform untuk mencungkil dan memupuk bakat STI seiring dengan perkembangan pesat teknologi dan inovasi masa kini.

“Oleh sebab itu, pertandingan Malaysia Techlympics 2024 memberi penekanan kepada aspek teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI), pengekodan, pengkomputeran, dan dron sebagai langkah awal untuk mendedahkan golongan sasar ini kepada teknologi yang sedang berkembang dengan pesat,“ katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Zon Tengah di sini hari ini.

Majlis penutup disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Pertandingan di Peringkat Zon Tengah menyaksikan penyertaan lebih 1,847 peserta daripada 128 buah sekolah di sekitar Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Pertandingan ini diadakan untuk memilih peserta yang akan bertanding di peringkat akhir yang dijadualkan berlangsung pada November, di Putrajaya.

Chang berkata bagi memperkukuh pertandingan yang dimulakan sejak 2022 itu, pihaknya turut memperkenalkan Modul-MT-X², iaitu program khas untuk belia dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang bertujuan mempromosikan STI kepada masyarakat.

Beliau berkata melalui Modul-MT-X², peserta diminta untuk menghasilkan infografik menarik dan video pitching yang membentangkan idea secara visual serta menjelaskan konsep, aplikasi, dan manfaat projek yang mereka laksanakan.

“Pendekatan ini bukan sahaja memperkemaskan kemahiran penyampaian dan kreativiti peserta, tetapi juga memupuk semangat inovasi dalam kalangan belia dan pelajar IPT,“ katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata kerajaan negeri komited dalam menerapkan pembudayaan STI di negeri itu dan yakin inisiatif MOSTI dalam menganjurkan Malaysia Techlympics 2024 akan terus mendorong pertumbuhan inovasi dalam kalangan murid sekolah dan belia di Selangor.

Beliau berkata pihaknya juga sentiasa menyokong usaha untuk mencungkil bakat golongan pelajar dalam pembangunan STI. Penyediaan dana tahunan sebanyak RM1 juta bagi melaksanakan program-program berkaitan Sains, Teknologi, Inovasi, dan Ekonomi (STEM) di Selangor adalah antara bukti kesungguhan mereka dalam memperkasakan STI kepada golongan belia di negeri itu.

“Jika dilihat kepada jumlah 338 anak Selangor yang bertanding di peringkat zon tengah ini, dapat dirumuskan bahawa pelajar di negeri ini menunjukkan minat yang tinggi dan memberangsangkan terhadap STI. Ini sekali gus menuntut agar lebih banyak inisiatif diperkenalkan untuk memperkukuh ekosistem STI di masa akan datang,“ katanya.