KOTA KINABALU: Mangsa banjir di daerah Membakut meningkat kepada 120 orang daripada 48 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) petang ini berbanding 114 orang daripada 46 keluarga malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan mereka dipindahkan ke PPS Dewan Selagon, Beaufort.

“Hujan berterusan di Membakut sejak Khamis lepas menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air dan jumlah mangsa dipindahkan meningkat petang ini,“ menurut kenyataan itu.

Lapan kawasan hotspot banjir ialah Jalan Lembah Poring, Kampung Baitam Baru, Kampung Ulu Baitam, Kampung Lampijas, Kampung Kayai, Kampung Jambatan Baru, Jalan Balai Polis, dan Kampung Tengah Brunei.

Cuaca cerah di kawasan pantai barat Sabah petang ini, namun Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan ribut petir di pantai timur negeri ini antaranya Tawau, Kunak dan Lahad Datu pada petang ini.

Membakut adalah daerah di kawasan pedalaman Sabah kira-kira 90 kilometer arah selatan dari Kota Kinabalu.