KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di Sabah setakat pagi ini meningkat kepada 464 orang daripada 140 keluarga yang berada di empat pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding 328 orang daripada 105 keluarga semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan PPS Dewan Kebudayaan Penampang menunjukkan peningkatan mangsa iaitu seramai 279 orang daripada 93 keluarga berbanding 165 orang daripada 67 keluarga semalam.

“Bagaimanapun jumlah mangsa di PPS di Dewan Sri Putatan menurun kepada 138 mangsa daripada 34 keluarga berbanding 116 mangsa daripada 25 keluarga,“ menurut kenyataan itu.

Jumlah mangsa di dua PPS Tuaran pula kekal iaitu 29 mangsa daripada lapan keluarga masih berada di PPS Dewan Balai Raya Kampung Tutu Selupoh, Tuaran manakala 18 orang daripada lima keluarga ditempatkan di PPS Dewan Balai Raya Kampung Bontoi, dekat Tamparuli.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dalam kenyataan memaklumkan Jalan Lintas Luagan, Sipitang di Kilometer (KM) 0.5 hingga KM1.55 tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan kerana air sungai melimpah disebabkan hujan berterusan di hulu sungai.

Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di beberapa kawasan di pedalaman Sabah iaitu Kuala Penyu dan Beaufort.

Turut terkesan di pantai barat Sabah iaitu Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran, selain di pantai timur di Tawau dan Semporna.