KOTA BHARU: Beberapa isu utama yang dihadapi lebih 7,000 petani di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) hingga menyebabkan kemerosotan keluaran padi di negeri ini akan diangkat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

Setiausaha Politik Kanan Pejabat Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Romli Ishak berkata antara masalah utama yang dikenal pasti adalah sistem pengairan dan saliran, harga benih padi dan input pertanian.

“Daripada pertemuan bersama pengerusi KADA dan Persatuan Pesawah Kelantan (PESAK) kita dapati ada beberapa isu yang sangat kritikal dan perlu diberi perhatian serius terutama membabitkan sistem pengairan dan saliran bagi mengelak petani terus berdepan kerugian.

“Saya mewakili Perdana Menteri telah mendengar tentang semua isu yang berlaku dan mengambil semua maklumat ini. Insya-Allah kita akan sediakan satu laporan untuk diserahkan kepada Perdana Menteri bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Pengerusi KADA, Muhammad Husin Bersama PESAK di Ibu Pejabat KADA di sini hari ini.

Menurutnya masalah di kawasan KADA turut berlaku di kawasan Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sebelum ini dan berjaya diatasi melalui penambahbaikan sistem pengairan sedia ada.

Sehubungan itu, Romli berkata pendekatan sama mungkin dilakukan bagi menyelesaikan masalah tanah sawah seliaan KADA melalui peruntukan tertentu.

“Insya-Allah sebagaimana yang telah dilakukan di kawasan MADA, kita juga berharap Perdana Menteri akan memberi peruntukan sama bagi kawasan KADA,“ katanya.

Terdahulu, Romli menerima memorandum yang mengandungi pernyataan masalah dihadapi petani dan solusi yang perlu dilakukan daripada Pengerusi PESAK Zuha Ismail yang ditandtangani oleh kira-kira 2,000 petani KADA.

Sementara itu, Zuha memaklumkan sebahagian besar daripada lebih 7,000 petani KADA berdepan kerugian setiap tahun berikutan masalah pengairan.

Menurutnya kawasan yang paling teruk terkesan membabitkan Kota Bharu utara dan selatan selain Bachok, Pasir Mas dan Tumpat.

“Kita harap pertemuan ini dapat menoktahkan masalah yang dihadapi kami lebih 30 tahun lalu kerana tanaman padi adalah sumber pendapatan utama kami,“ katanya.