• 2025-09-18 01:09 PM

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara yang juga juara dunia baharu Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terpaksa berhempas pulas dalam aksi tiga set sebelum melangkah ke suku akhir Masters China 2025.

Pilihan ketiga kejohanan itu menewaskan pasangan Indonesia Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel, 21-13, 13-21, 21-16 dalam pertarungan mendebarkan selama 73 minit pada aksi yang berlangsung di Shenzhen Arena sebelum berjaya menempah slot lapan terbaik.

Mereka bakal bertemu sama ada pilihan kelima dari Hong Kong Tang Chun Man-Tse Ying Suet atau pasangan Denmark Jesper Toft-Amalie Magelund pada perlawanan suku akhir.

Sementara itu, perjuangan pasangan profesional negara yang juga pilihan kelapan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie terhenti selepas dikejutkan oleh beregu bukan pilihan dari Taiwan Ye Hong Wei-Nicole Gonzales Chan 6-21, 21-16, 12-21 dalam saingan Super 750 itu - BERNAMA