KUALA LUMPUR: Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan waris lelaki, yang mayatnya dijumpai terapung di Sungai Kajang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata mayat lelaki dipercayai berusia 40 hingga 50-an itu ditemukan oleh seorang lelaki yang sedang memancing di sungai berkenaan pada 12.34 tengah hari.
“Ketika dijumpai, mayat dalam keadaan tertiarap di dalam air dan memakai kemeja-T berwarna jingga, hanya berseluar dalam serta mempunyai kesan suntikan Bacille Calmette-Guerin (BCG) dipercayai warganegara. Tiada sebarang pengenalan diri ditemukan pada mayat terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata tiada laporan polis berkenaan orang hilang dibuat di sekitar daerah Kajang dan butiran si mati belum diperoleh.
“Sesiapa yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi Ketua Polis Balai Bandar Baru Bangi Insp Mohd Nasri Tesnoh menerusi talian 017-710 2042,” katanya.