PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka kertas siasatan terhadap sebuah syarikat yang disyaki menjalankan aktiviti penjualan peranti komunikasi tidak diperakui secara dalam talian.
Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan tindakan itu hasil kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan operasi bersepadu, Op Taring Bravo 3 yang melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa.
Menurut MCMC, operasi tersebut berjaya menemui 3,837 peralatan komunikasi pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM500,000 dan telah disita PDRM serta diserahkan kepada MCMC untuk analisis teknikal dan penelitian lanjut.
“Barangan tersebut merangkumi konsol permainan tanpa wayar, alat kawalan jauh tanpa wayar, peranti pintar, tablet serta pelbagai peranti komunikasi yang dipercayai dipasarkan tanpa perakuan teknikal sah daripada MCMC,” menurut kenyataan itu.
Kes disiasat mengikut Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
MCMC menegaskan suruhanjaya itu komited untuk melaksanakan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras penjualan dan penggunaan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui demi menjamin keselamatan pengguna serta memelihara integriti pasaran dari aspek pematuhan teknikal.
Kenyataan itu memaklumkan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti penjualan atau pengedaran peranti komunikasi tidak diperakui boleh menyalurkan melalui saluran aduan rasmi MCMC atau melaporkan kepada pihak PDRM. – Bernama