MELAKA: Kerajaan Melaka berharap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengambil tindakan tegas ke atas operator Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang di sini yang dilihat culas sehingga menyebabkan pencemaran berulang dalam tempoh lebih setahun lepas.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata operator itu juga telah beberapa kali diberi notis dan kompaun atas kesalahan sama, tetapi tiada penyelesaian terhadap isu berkenaan.
Beliau berkata pelepasan air larut resapan berwarna hitam dan berbau busuk yang mengalir ke sungai berhampiran, dan kemudiannya ke Sungai Lereh menjejaskan aktiviti pertanian di sekitar kawasan berkenaan.
“Operator terlibat perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap isu pencemaran ini, kerana ia sudah berlaku banyak kali. Amaran, notis dan denda oleh pihak berkuasa juga telah banyak kali dikeluarkan.
“Kita tidak akan ambil ringan lagi, semua agensi terlibat seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Badan Kawal Selia Air (BKSA) juga perlu ambil tindakan segera, selain kita juga telah menulis surat kepada KPKT untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Pengukuhan dan Peningkatan Hasil Pihak Berkuasa Tempatan Siri 2.0 yang turut dihadiri Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.
Seminar yang berlangsung selama sehari itu disertai lebih 200 peserta dari 56 PBT seluruh negara dan sebanyak enam kertas kerja turut dibentangkan termasuk daripada MBMB berkaitan inisiatif Pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan Banda Hilir atau dikenali sebagai Santai @ Banda Hilir.
Rais berkata kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada KPKT untuk mengambil tindakan terhadap operator berkenaan kerana ia di bawah bidang kuasa kementerian, tetapi mengharapkan hukuman lebih berat sebagai pengajaran.
Beliau berkata Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang adalah satu-satunya tapak pelupusan di negeri itu, dan ia perlu dikendalikan dengan baik khususnya dalam pengurusan sisa pepejal agar tidak memberi kesan mudarat kepada rakyat.