• 2025-09-07 09:46 AM

MELAKA: Melaka menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 dan mesyuarat berkaitan selama lima hari bermula Isnin.

Acara berprestij itu menghimpunkan pemimpin dan perwakilan daripada negara anggota ASEAN, Timor-Leste serta rakan dialog utama termasuk China, Jepun dan Republik Korea.

Agenda lima hari itu padat dengan sesi persediaan, perbincangan berprofil tinggi serta rundingan penting untuk memperkukuh mekanisme serantau.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan AMMTC ke-19 pada Selasa dengan ucapan daripada Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Ismail Nasution.

Perbincangan utama AMMTC ke-19 berlangsung pada Rabu dengan para menteri dan delegasi mengadakan dialog komprehensif merangkumi 24 agenda berkaitan jenayah rentas sempadan.

Mesyuarat dua hala sepanjang hari itu memberi ruang kepada perbincangan antara negara anggota.

Pemimpin-pemimpin AMMTC bersama pasangan mereka akan menikmati pengalaman kebudayaan menaiki Melaka River Cruise manakala delegasi lain bebas meneroka bandar raya bersejarah.

Pada Khamis, tumpuan beralih kepada rundingan bersama rakan dialog menerusi Konsultasi AMMTC+3 ke-15, Konsultasi AMMTC+China ke-12, Konsultasi AMMTC+Jepun ke-10 dan Konsultasi AMMTC+ROK ke-6.

Acara simbolik penyerahan jawatan pengerusi daripada Malaysia kepada Filipina turut diadakan pada hari tersebut.

Mesyuarat berakhir pada Jumaat dengan program bersiar-siar untuk perwakilan sebelum berangkat pulang.

AMMTC ke-19 dan mesyuarat berkaitan diadakan sempena Kepengerusian ASEAN 2025 bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.

Acara ini mencerminkan komitmen negara untuk membina komuniti ASEAN yang lebih selamat dan makmur. – Bernama